Friday, September 11, 2009

Perang Bukan Jalan Penyelesaian Malaysia Dalam Provokasi Media Indonesia

Perang Bukan Jalan Penyelesaian Malaysia Dalam Provokasi Media Indonesia

Hubungan antara Malaysia dan Indonesia pada tahun ini sedikit tercalar , apabila terdapat salah faham yang berlaku , hanya kerana Tarian Pandet. Perkara yang perlu yang diketahui, apakah itu Tarian Pandet? . Tarian Pandet merupakan satu tarian yang diperagakan oleh Umat Hindu di Bali, Indonesia. Tarian ini melambangkan penyambutan atas turunnya dewata ke alam dunia. Namun, peredaran sekarang Tarian Pandet telah mengalami perubahan sebagai sebuah tarian “Ucapan Selamat Datang”.Kenyataan ini sedikit sebanyak dapat membantu rakyat Malaysia apa itu Tarian Pandet.

Perkara yang menggusarkan kita, merupakan hubungan dingin yang dicetus salah faham yang boleh mengakibatkan pelbagai implikasi. Implikasi yang paling membimbangkan ialah berlakunya konfrantasi kedua antara Malaysia dan Indonesia. Hanya dikatakan Malaysia mencuri Tarian Pendet yang dilemparkan media massa Indonesia terhadap Malaysia. Perlu diingat, pengaruh media boleh mengakibatkan sesuatu pengaruh yang amat luar biasa. Seharusnya, media massa dari Indonesia perlu mengkaji sebetul-betulnya maklumat yang didapati dengan memikirkan kesannya.

Akibatnya, rakyat Indonesia menjadi marah, terutamanya orang yang berkepentingan. Baru-baru ini dilihat di dada akhbar tempatan menyiarkan sebuah pertubuhan di Indonesia telah memberitahu sudah bersedia untuk berperang dengan Malaysia , hanya kerana isu Tarian Pandet. Jurucakap pertubuhan itu juga mengatakan mereka telah menyimpan stok makanan dan ubatan, termasuklah senjata yang berupa senjata tajam.

Sebagai orang Melayu yang berasal nusantara, mungkin kita sedih melihat persengketaan ini jika berpanjangan kerana sejarah telah membuktikan kedua-dua negara daripada satu rumpun yang sama. Hal ini terbukti dengan budaya yang sama, agama yang sama, petah bahasa yang sama , dan menjalinkan perkahwinan antara kedua-dua Negara ini. Maka, seharusnya, perlu ada tolak ansur dalam isu ini, bagi mengukuhkan perpaduan kedua-dua Negara bersama.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengatakan perkara ini perlu diberhentikan segera kerana permasalahan ini sudah dianggap selesai , kerana promosi pelancongan yang mempunyai Tarian Pendet itu bukan di buat oleh pihak Malaysia. Tambahan lagi, Malaysia telah menerima kenyataan maaf daripada Discovery Cannel yang menyiarkan tarian itu. Seharusnya, pihak Indonesia dapat memperbaiki hubungan yang sedikit retak dengan bermuafakat kembali.

Oleh itu, salah faham yang berlaku antara kedua-dua negara , perlu dilakukan secara perbincangan dalam suasana persahabatan, bukannya “perang” yang digembar-gemburkan . Perang bukan langkah penyelesaian yang bijak kerana akan menhancurkan kedua-dua negara dari segi ekonomi, sosial, dan juga nilai kemanusiaan. Malaysia dan Indonesia boleh dianggap “adik-beradik” kerana saling memerlukan antara satu sama lain yang diperkuatkan dengan tutur kata yang sama, yang boleh menyebut “perpaduan dan persahabatan”. Kata orang Melayu lama , “usik peha kanan, peha kiri terasa juga”.Fikir-fikirkan untuk anak bangsa di nusantara ini.

-Khairul Zaim Mohd Shaari

Mantan Pengerusi

Exco Kerohanian dan Islam Hadhari

Majlis Perwakilan Mahasiswa

Universiti Malaya

2007/2008