Wednesday, October 7, 2009

Pengantarabangsaan Bahasa Kebangsaan Tugas Semua Pihak

Pengantarabangsaan Bahasa Kebangsaan Tugas Semua Pihak

Bahasa Kebangsaan bagi negara Malaysia merupakan bahasa Malaysia ataupun Bahasa Melayu sebelum digubah oleh kerajaan. Perlu diingatkan, sebelum bahasa Melayu diangkatkan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu terpaksa bersaing dengan bahasa Inggeris untuk diletakkan sebagai bahasa kebangsaan. Bahasa Melayu juga diletakkan sebagai aras bahasa rasmi Negara. Bahasa Melayu juga diletakkan sebagai bahasa ke empat terpenting di dunia kerana mempunyai penuturnya di seluruh dunia. Namun begitu, masih terdapat cacat cela dalam penarafan bahasa rasmi di kalangan penjawat awam, apatah lagi penjawat swasta di Malaysia.

Boleh dikatakan, selepas PPSMI (pengajaran dan pemelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris) dimansuhkan, sorakan kegembiraan bagi yang menyokong dan ada juga yang sebaliknya. Perkara yang perlu dirancangkan, apakah tindakan selepas pemansuhan PPSMI ini, yang dikatakan salah satu sebab kemandulan bahasa di kalangan masyarakat Malaysia.

Masalah yang diakui oleh tokoh-tokoh bahasa di Malaysia ini ialah “bahasa rojak” yang dikatakan dipelopori oleh masyarakat di bandar- bandar di Malaysia, terutamanya di sekitar Kuala Lumpur. Sedia maklum, Sasterawan Negara, A.Samad Said mempunyai kegemaran berjalan di sekitar Kuala Lumpur, apa yang dilihatnya ialah kehancuran bahasa kebangsaan yang dipunahkan oleh anak bangsanya sendiri.Tidak salah jika menggunakan bahasa Inggeris, namun janganlah terlalu berkata seperti “ separuh ular dan separuhnya lagi belut”.

Masalah papan tanda juga di pandang berat oleh pemikir bahasa. Kenapa papan tanda dikaitan dengan pengantarabangsaan bahasa kebangsaan? Jawapannya, kerana papan tanda merupakan medium untuk mengetahui maklumat yang mencerminkan budaya masyarakat setempat. Namun, jika kita berjalan di pusat penting negara, papan tanda berbahasa kebangsaan sering bersaing dengan beberapa bahasa lain untuk mendapat tempat dalam papan tanda itu.

Seperkara lagi, Institusi Pengajian Tinggi sama ada tempatan atau swasta harus mendokong hasrat bahasa kebangsaan ini. Janganlah terlampau mengutamakan bahasa Inggeris . Malu juga apabila Profesor Dr Awang Sariyan menjawap beberapa soalan daripada peserta dalam satu seminar Bahasa Melayu Dunia, yang mempersoalkan kewajaran sebuah universiti yang dikatakan universiti berlatarkan Kebangsaan, namun tidak mempraktikkan amalan bahasa kebangsaan.

Perkara ini juga, belum menyentuh aspek pelajar asing yang belajar di Malaysia yang seharusnya belajar asas bahasa Melayu dan budaya masyarakat Malaysia, namun hanya segelintit IPT yang mempratikkan amalan ini. Akibatnya, terjadilah cerita mengenai pergaduhan pelajar asing dengan masyarakat setempat atau pelajar asing minum arak di kawasan jiran berbangsa Melayu. Hal ini kerana mereka buta budaya setempat dan bahasa setempat . Salah siapa yang harus dirujukkan? Jawapannya ialah pendidikan .

Pemerkasaan badan bahasa juga perlu diberi “taring” agar lebih berkemampuan menyuburkan bahasa kebangsaan. Rasa tanggungjawab yang lebih harus disemai dalam pemimpin badan bahasa ini. Sebagai contohnya, Gabungan Penulis Nasional ( GAPENA) merupakan badan tertinggi yang memperjuangkan hal mengenai bahasa Melayu, dibawahnya terdapat beberapa persatuan penulis dan bahasa di setiap negeri. Namun persoalannya, boleh dikira berapa persatuan yang menunjukkan dirinya dihadapan masyarakat setempatnya dan ada juga yang sudah tidak aktif. Pemimpin persatuan penulis negeri harus memikirkan keorganisasian bahasa yang jitu, bukannya mengejar nama, pangkat dan politik semata-mata. Ucapan setulus ikhlas diberikan kepada persatuan bahasa yang sentiasa membimbing masyarakat dalam menyebarkan bahasa kebangsaan. Tugas paling penting ialah menarik golongan muda dalam memartabatkan bahasa kebangsaan ini.
Undang-undang penyalahgunaan etika bahasa kebangsaan harus dilakukan agar generasi akan datang dapat mengetahui, bagaimana sebenarnya bahasa kebangsaan di negara ini. Parti yang berlatarkan orang Melayu juga harus mengambil tanggungjawab ini, bukan hanya berpolitik sahaja. Kita janganlah menjadi “pak angguk “ dalam semua isu, kerana akan kerugian dalam beberapa aspek, terutamanya perlu memikirkan apakah bahasa yang akan kita tuturkan pada tahun 2050 nanti, adakah lebih teruk dari sekarang. Sama –sama kita fikirkan.

Sempena Bulan Bahasa Kebangsaan ini, sama-samalah kita memartabatkan bahasa kebangsaan dengan beberapa aktiviti bagi mencelikkan minda kita agar tidak ada lagi “kemandulan bahasa kebangsaan”. Dari sekolah hinggalah ke ceruk kampung perlu disemai mengenai Bulan bahasa kebangsaan ini dan sama-sama berbangga menjadi penutur bahasa kebangsaan rakyat Malaysia. Perlu diingat “bahasa Jiwa Bangsa”.

-Khairul Zaim Mohd Shaari
Kampung Gajah, Perak