Sunday, February 15, 2015

MEMBINA NEGARA BANGSA

MEMBINA NEGARA BANGSA 



Wahai putra  putri Malaysia
Ingatkah  pabila  dijajah
Penuh jerih membela bangsa
Pusaka nenek moyang kita
Usahlah genta tekadkan usaha
Membina kota merdeka
Di atma kita

Satu Malaysia teras utama
Bersama kita maju bersama
Mendukung aspirasi berjaya
Menongkah menuju wawasan
Kejayaan anak warisan
Diteruskan zaman berzaman
Ini tanah yang dicintakan


Kita rakyat Malaysia
Haruslah bersemangat membugar keringat
Dengan jiwa merdeka
Berteraskan  agama dan bangsa
Bahasa nan budaya
Di Tanah tercinta


Mari kita kesinambungkan sejarah
Kita bangunkan harga  dan maruah
Agar jiwa sentiasa bersatu
Menjadi bangsa jiwa merdeka
Dalam mengejar wawasan negara
Mendahulukan pencapaian  anak watan

Perlu kita bersedia !!  




Monday, March 22, 2010

MEMENUHI IMPIAN PENDIDIKAN BAHASA MELAYU YANG BERKESAN [Bahagian Pertama]

MEMENUHI IMPIAN PENDIDIKAN BAHASA MELAYU YANG BERKESAN
Prof. Dr Awang Sariyan
Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia – China
Beijing Foreign Studies University
[Bahagian Pertama]
Pendahuluan
Adakah sebenarnya “impian” dalam bidang pendidikan bahasa? Mungkinkah hal itu hanya suatu lelucon atau ilusi semata-mata? Jika memang ada, apakah impian itu? Anjakan paradigma yang paling dasar untuk memahami idealisme atau impian dalam pendidikan bahasa semestinya berkaitan dengan aspek falsafah pendidikan bahasa itu sendiri, terutama yang berkaitan dengan isu epistemologi (teori ilmu) tentang konsep bahasa dan matlamat pendidikan bahasa.

Dua sisi utama pendidikan bahasa akan dibincangkan. Yang pertama ialah pendidikan bahasa sebagai upaya pengembangan potensi akliah manusia. Yang kedua ialah pendidikan bahasa sebagai wasilah penyempurnaan adab dan sahsiah manusia serta agen pemasyarakatan (sosialisasi) yang berkaitan rapat pula dengan fungsi bahasa dalam dinamika, kelestarian dan kelenturan budaya masyarakat pengguna bahasa berkenaan. Kelestarian budaya berkaitan dengan ketahanan unsur-unsur teras budaya masyarakat, sementara dinamika budaya memerikan perkembangan positif budaya yang dengan keperluan sezaman. Kelenturan budaya pula bermaksud keupayaan budaya sesuatu masyarakat menyerapkan unsur-unsur luar yang membantu dinamika budaya masyarakat dan di sisi itu tidak pula menyirnakan kelestarian budaya teras masyarakat.

Pendidikan bahasa yang berkesan dan unggul hendaklah dipertalikan dengan tiga perspektif budaya itu, agar bidang itu tidak menjadi bidang eksklusif dalam disiplin ilmiah atau sekadar memenuhi kerangka kurikulum pendidikan, tetapi berada dalam kotak yang tersendiri serta tidak merentas kotak-kotak kehidupan yang lain. Pendidikan bahasa semestinya dioreintasiskan menjadi bidang yang inklusif, dengan erti kata merentas seluruh aspek kehidupan manusiawi. Inilah inti sari dan gagasan yang ingin saya kemukakan dalam makalah ini.
Kontroversi dan Anjakan Matlamat Pendidikan Bahasa
Secara kasarnya, terdapat dua aliran utama pendidikan bahasa yang secara langsung berkaitan dengan matlamat pendidikan bahasa. Kedua-duanya itu ialah:

Pendidikan bahasa yang berasaskan kemahiran bahasa/linguistik (yang meliputi tiga komponen utama bahasa, iaitu fonologi, tatabahasa dan semantik, atau dengan lebih rinci meliputi sistem ucapan, sistem tulisan, sistem tatabahasa, kosa kata dan laras bahasa)

Pendidikan bahasa yang berasaskan kemahiran sosial/komunikatif (yang menekankan aspek fungsional bahasa).
Dalam historiografi atau pensejarahan linguistik dan pendidikan bahasa, aliran yang pertama itu ditandai oleh kemunculan empat kerangka linguistik yang utama, iaitu linguisitik tradisional, linguistik struktural (yang mewakili pandangan empirisisme), linguistik transformasi-generatif (yang mewakili pandangan mentalisme) dan linguistik fungsional (Awang Sariyan, 1997 dan 2007). Secara ringkas, keempat-empat kerangka linguistik yang mempengaruhi bidang pendidikan bahasa itu ditandai oleh beberapa ciri utama yang berikut:

Asas Linguistik Tradisional:

1. Huraian bahasa berdasarkan makna dan logika (menurut falsafah Yunani)
2. Penguasaan bahasa tulisan lebih daripada bahasa lisan
3. Huraian aturan bahasa bersifat normatif/preskriptif

Asas Linguistik Struktural

1. Bahasa ialah pertuturan, bukan tulisan.
2. Bahasa merupakan suatu himpunan kebiasaan, bukan berasaskan aturan
bahasa yang preskriptif.
3. Ajarkanlah bahasa, bukan tentang bahasa.
4. Bahasa ialah apa-apa yang dituturkan oleh penutur jatinya, bukan apa-apa
yang sepatutnya dituturkan.
5. Bahasa berbeda antara satu dengan yang lain.

Asas Linguistik Rasionalis/Mentalis

1. Bahasa yang hidup dicirikan oleh kreativiti dengan berasaskan rumus atau
aturan.
2. Rumus-rumus tatabahasa secara psikologinya merupakan hakikat bahasa.
3. Manusia secara istimewa dilengkapi keupayaan mempelajari bahasa
(APB, iaitu alat pemerolehan bahasa/LAD, iaitu language acquition device).
Bahasa yang hidup ialah bahasa yang dapat menjadi wadah untuk manusia
berfikir.

Asas Linguistik Fungsional

1. Bahasa ialah fenomena sosial.
2. Penguasaan bahasa diukur berdasarkan kemahiran komunikatif, lebih
daripada kemahiran linguistik.
3. Penekanan diberikan kepada variasi bahasa menurut fungsi sosial.

Kontroversi yang berakar pada mazhab atau aliran pemikiran yang berbeda tentang konsep bahasa itu ada manfaatnya daripada segi perkembangan ilmiah, tetapi tidak seharusnya menjadi jurang yang menyebakan pendidik bahasa terjerumus ke dalam jurang itu, sehingga taksub berpegang pada mazhab tertentu dan menolak segi-segi kelebihan dan kekuatan mazhab-mazhab yang lain.
Sebagai contoh, aliran linguistik tradisional, meskipun terlalu bergantung pada asas logika klasik Yunani dalam huraian bahasa, masih tetap dapat dimanfaatkan dalam konteks mengenal kategori bahasa seperti subjek, predikat, objek, pelengkap, keterangan, golongan dan bentuk kata serta jenis dan golongan ayat. Aliran struktural ada kelemahannya daripada segi pengasingan bentuk daripada makna dan kecenderungan yang berlebihan untuk berasas pada bahasa lisan (bahasa komunikasi sehari-hari) tetapi membantu kita mengenal konstituen-konstituen dalam binaan kata dan ayat dan fitur-fitur bunyi bahasa dengan jelas.
Demikianlah juga, aliran transformasi-generatif yang bertunjangkan mentalisme dalam menjelaskan konsep dan hakikat bahasa membantu pendidik bahasa dalam konteks memahami bahasa sebagai proses mental dan penerapannya dalam pendidikan bahasa diperjelas oleh bidang psikolinguistik. Akhirnya, aliran fungsional yang menekankan bahasa dalam konteks fungsi sosialnya membantu pendidik untuk menjabarkan kegunaan pelbagai bentuk bahasa (laras, ragam, variasi bahasa) dalam pelbagai konteks sosial (keluarga, rakan sebaya, rakan sejawatan, pentadbiran, undang-undang, ekonomi, pengiklanan, puisi, cereka, sukan dan sebagainya)
Dalam makalah ini, penulis menyarankan agar pendidik bersikap eklektik, iaitu memadukan segi-segi positif setiap aliran linguistik itu untuk melaksanakan pendidikan bahasa yang berkesan. Tidak ada manfaatnya kita meletakkan diri dalam kepompong mana-mana mazhab dalam pelaksanaan amanah kita sebagai pendidik bahasa. Biarkanlah ahli linguistik murni berada pada jalur pemikiran itu jika mereka berhasrat demikian. Secara ringkas, saran saya ialah:

1. Dikotomi antara penekanan pendidikan bahasa terhadap matlamat yang bersifat linguistik dengan matlamat yang bersifat pragmatis itu perlu dipadukan untuk memperoleh penguasaan bahasa yang seimbang antara kemahiran linguistik dengan kemahiran komunikatif.

2. Kemahiran yang hanya menekankan kemahiran linguistik menyebabkan bahasa kehilangan fungsi sosialnya.

Kemahiran yang hanya menekankan kemahiran komunikatif menyebabkan kehilangan piawai bahasa untuk dijadikan asas dalam pendidikan bahasa dan juga dalam komunikasi luas dalam proses pengembangan kebudayaan dan tamadun bangsa.

Dengan demikian, matlamat pendidikan bahasa hendaklah difahami sebagai matlamat yang dwifungsi, iaitu menyerapkan aspek sistem bahasa atau aspek linguistik dalam kalangan pelajar (sebagai asas untuk komunikasi yang berkesan dalam pelbagai konteks sosial dan keperluan) dan membolehkan pelajar menguasai kemahiran komunikasi (di peringkat mikro seperti keluarga dan rakan-rakan sebaya dan juga di peringkat makro atau pelbagai kelompok sosial yang lebih luas, seperti perhubungan dalam pentadbiran, perniagaan, majlis, adat istiadat, protokol, korporat, media penyiaran, hubungan diplomasi dan sebagainya).

Matlamat yang pertama itu dapatlah dikaitkan dengan proses “melengkapkan” (equipping) pelajar dengan unsur-unsur asas bahasa, sementara matlamat kedua berkaitan dengan proses “membolehkan” (enabling) pelajar menerapkan kemahiran bahasanya dalam konteks komunikasi yang sebenarnya, yang meliputi kepelbagaian konteks sosial, bidang dan keperluan. Bahagian yang berikutnya akan menghuraikan kedua-dua matlamat itu.

Pendidikan Bahasa sebagai Pengembangan Potensi Akliah
Peranan pendidikan bahasa sebagai wasilah pengembangan potensi akliah manusia, khususnya anak didik, berasas pada hakikat bahawa bahasa merupakan salah satu ciri dualistik yang bersepadu pada diri batin atau diri kerohanian manusia. Ciri itu ialah akal dan bahasa. Kedua-duanya itu merupakan milik diri batin atau diri kerohanian manusia yang realisasinya muncul pada diri yang zahir. Contohnya kemampuan akal dizahirkan pada tindakan manusia melakukan uji kaji, menyelidik, membina, mereka cipta, melakukan inovasi, penerokaan dan sebagainya. Kemampuan atau potensi bahasa pula terzahir dalam bentuk pernyataan fikiran, perasaan, taakulan, tafsiran, penilaian, hujah, rasional, rumusan dan sebagainya yang sama ada disalurkan melalui lisan (dengan menggunakan organ-organ artikulasi) atau lambang-lambang grafem, iaitu tulisan.

Hakikat bahasa sebagai salah satu ciri utama makhluk yang diberi nama “manusia” telah dibincangkan sejak awal pertumbuhan dan perkembangan tamadun manusia, terutama dalam bidang falsafah di Yunani pada abad kelima sebelum Masihi, khususnya dengan cetusan pemikiran Plato dan Aristotle. Hingga kini perbincangan tentang hal itu masih subur dan menarik minat sejumlah ahli bahasa, ahli falsafah, ahli psikologi dan ahli dalam disiplin ilmu yang lain. Baik dalam tradisi ilmu Barat mahupun Islam, hal itu mendapat garapan yang mendalam.
Dalam konteks pendidikan bahasa, kita tidak dapat mengabaikannya oleh sebab kaitannya yang amat rapat dengan salah satu matlamat pendidikan bahasa, iaitu “pengembangan potensi akliah manusia”. Dengan perkataan lain, pendidikan bahasa bukanlah proses yang mekanis semata-mata sifatnya, iaitu yang sekadar memberikan kemahiran bahasa tanpa hubungannya dengan pengembangan akliah anak didik yang seterusnya menjadi anggota masyarakat.

Istilah “akliah” yang berasal daripada bahasa Arab berkaitan rapat dengan istilah “budi” dalam bahasa Melayu yang salah satu maknanya ialah ‘akal’, selain makna ’kesopanan’ dan ‘pekerti’. Bahkan makna “kesopanan” dan “pekerti” itu pun berasas pada makna akal, kerana tanpa akal tidak mungkin wujud kesopanan dan pekerti. Oleh itu, pendidikan bahasa yang ideal ialah yang tidak mengabaikan aspek pembinaan dan pengembangan akal atau budi, pekerti, kesopanan dan sahsiah.

Pada semua peringkat dan sektor proses sosialisasi, baik keluarga, rakan sebaya, institusi pendidikan, media dan masyarakat itu sendiri, bahasa menjadi wasilah penyerapan norma, sistem nilai, falsafah, pandangan sarwa (worldview) dan segala aspek kebudayaan masyarakat (aspek kebudayaan yang tampak, seperti seni bina, busana, peralatan dan juga aspek kebudayaan yang tak tampak, seperti falsafah, pemikiran, pandangan sarwa, sistem nilai dan sebagainya). Bahasa menjadi wasilah bagi berlangsungnya proses penyerapan dan pengamalan semua aspek kehidupan itu, dan pendidikan bahasa secara langsung menjadi bidang yang membidaninya.

Huraian linguistik yang berasaskan perspektif budaya, seperti Hipotesis Sapir-Whorf dan yang berasaskan perspektif mentalistik seperti Plato, von Humboldt dan Chomsky banyak memberikan rasional peri pentingnya bahasa dilihat sebagai unsur yang mesti dipertalikan dengan akal dan budaya. Daripada perspektif Islam pula, hakikat bahasa sebagai juzuk penting diri batin manusia (yang menjadi paksi penguasa diri yang zahir, iaitu jasad) dihuraikan oleh ahli-ahli falsafahnya dengan berasaskan kata nutq yang menerbitkan ungkapan haiwan natiq atau haiwan yang berakal (rational animal).

Haiwan natiq atau rational animal merujuk kepada hakikat diri manusia yang ditandai oleh dua ciri utama, iaitu akal dan bahasa. Kata nutq yang menjadi akar kata natiq merujuk kepada akal dan bahasa sebagai suatu paduan, sehingga haiwan natiq bererti haiwan yang berakal dan berbahasa (al-Attas, 1995). Paduan antara akal dengan bahasa inilah yang menjadi asas matlamat pertama pendidikan bahasa, iaitu untuk mengembangkan potensi akliah anak didik sebagai persiapan mereka menjalani kehidupan yang merentas pelbagai konteks dan bidang.

Sebagaimana yang telah disebut pada bahagian awal tentang matlamat pengembangan potensi akliah ini, pendidikan bahasa memungkinkan anak didik memahami, menakrifkan, menafsirkan, menganalisis, mensintesis, membedakan, membandingkan, merumuskan, menilai sesuatu (idea, objek, fenomena, konsep, fakta dll), dengan menggunakan akal dan menzahirkan semua kemampuan akliah itu melalui bahasa (baik lisan mahupun tulisan).
[Bahagian Kedua]

Pendidikan Bahasa dalam Senario Kehidupan yang Menyeluruh
Pendidikan bahasa bukan bidang eksklusif yang bersifat ilmiah semata-mata, tetapi merupakan bidang yang pragmatis juga sifatnya. Maksudnya, pendidikan bahasa bukan sekadar pemberian maklumat atau fakta bahasa (baik fonologl, tatabahasa, semantik, kosa kata dsb.), dan bukan juga pembinaan kemahiran berbahasa (mendengar, bertutur, membaca dan menulis) secara mekanis dan pasif.

Sejajar dengan matlamat pertama tadi yang menekankan pengembangan potensi akliah anak didik, maka matlamat kedua ini berkaitan dengan penerapan penguasaan sistem bahasa dan kemahiran bahasa dalam kehidupan yang merentas pelbagai konteks, bidang dan keperluan. Dengan kemampuan menerapkan pengetahuan sistem bahasa dan penguasaan kemahiran berbahasa dalam kehidupan yang menyeluruh itu, diharapkan anak didik kemudian menjadi anggota masyarakat yang peka, akomodatif dan membantu keutuhan dan pelestarian segala unsur budaya yang menjadi asas jati diri atau identifikasi masyarakatnya itu.

Kehidupan yang menyeluruh meliputi kehidupan dalam pelbagai unit sosial, bermula dengan keluarga, persahabatan, institusi kerjaya, media, pertubuhan, negara dan di peringkat supranasional meliputi hubungan serantau dan antarabangsa. Daripada segi bidang pula, kehidupan yang menyeluruh mencakup segala aspek yang menjadi tunjang kebudayaan dan tamadun, seperti ekonomi, politik, pendidikan, sains, perubatan, undang-undang, pentadbiran dan diplomasi.

Dalam semua perancangan, keputusan, kegiatan, interaksi dan penilaian yang berkaitan dengan semua unit sosial dan ranah kehidupan itu, diperlukan “kemahiran insaniah” (softskill), dengan kemahiran bahasa dan komunikasi merupakan salah satu kemahiran insaniah yang teras. Tidak ada satu pun yang tidak memerlukan kemahiran bahasa dan komunikasi. Keharmonian keluarga dan persahabatan, kecekapan dalam pentadiran, keberkesanan media dan kelancaran diplomasi antara negara, sebagai contoh, memerlukan kemahiran bahasa dan komunikasi. Bayangkanlah bagaimana simpang-siurnya dan simpang-perinangnya kehidupan manusia tanpa kemahiran bahasa dan komunikasi untuk menangani segala-galanya itu. Dalam konteks inilah pendidikan bahasa membolehkan atau memungkinkan (enabling) anak didik menjadi anggota masyarakat yang dapat berperanan memenuhi segala keperluan itu.

Sekadar menunjukkan bagaimana pendidikan bahasa amat besar peranan dan sumbangannya dalam penyediaan anggota masyarakat yang dapat berfungsi dalam kehidupan yang menyeluruh itu, marilah kita lihat bagaimana senarai fungsi sosial bahasa dilakarkan oleh Halliday (1973):
1. Fungsi instrumental - digunakan untuk memanipulasi persekitaran bagi menyebabkan peristiwa-peristiwa berlaku. Ayat seperti “Mahkamah mendapati kamu bersalah”, “Di atas garisan, sedia, mula!”, atau “Jangan sentuh dapur itu” dikatakan berfungsi instrumental. Ayat-ayat itu merupakan lakuan komunikatif yang menyatakan sesuatu keadaan tertentu.

2. Fungsi pengaturan (regulatory function) yang merupakan kawalan peristiwa, boleh jadi dalam bentuk pengesahan, penolakan, kawalan tingkah laku, atau penyataan aturan dan undang-undang. Jika ayat “Saya dapati kamu bersalah dan kamu dijatuhi hukuman penjara tiga tahun” termasuk dalam fungsi instrumental, maka ayat “Oleh sebab berkelakuan baik, kamu akan dibebaskan sesudah menjalani hukuman penjara sepuluh bulan” tergolong dalam fungsi pengaturan.

3. Fungsi pewakilan (representational function) yang merupakan penyataan fakta dan maklumat yang mewakili sesuatu hakikat atau realiti, seperti “Bumi bulat” dan “Perdana Menteri berucap dalam majlis itu”.

4.Fungsi interaksi (interactional function) yang berperanan memastikan pengekalan masyarakat. Fungsi ini terlaksana jika engguna bahasa menguasai pengetahuan tentang slanga, jargon, enaka, cerita rakyat, kesantunan, dan unsur-unsur sosial lain dalam ahasa masyarakatnya atau dalam bahasa yang digunakannya.

5. Fungsi persendirian (personal function) yang memungkinkan seseorang melahirkan perasaan dan reaksi.

6. Fungsi heuristik yang berkaitan dengan penggunaan bahasa untuk pemerolehan ilmu, khususnya yang melibatkan jenis ayat tanya.

7. Fungsi imaginatif yang memungkinkan bahasa digunakan untuk seseorang menghasilkan puisi, cereka, jenaka, ramalan, dan sebagainya.

Dengan memahami demikian luasnya senario fungsi bahasa dalam kehidupan yang menyeluruh, maka pendidikan bahasa seharusnya diusahakan agar dapat menjangkau saujana keluasan makna dan hakikat kehidupan itu. Inilah matlamat kedua pendidikan bahasa, iaitu untuk memungkinkan atau membolehkan anak didik menerapkan pengetahuan bahasa dan kemahiran berbahasanya dalam kehidupan. Mana-mana kurikulum pendidikan bahasa, latihan perguruan dan keguruan, penyediaan bahan dan penilaian yang tidak bertitik tolak daripada matlamat ini, atau yang mengehadkannya kepada aspek penguasaan sistem bahasa dan kemahiran bahasa sahaja tidak mungkin mencapai impian atau idealisme pendidikan bahasa yang sewajarnya, sebagaimana juga sebaliknya jika pendidikan bahasa hanya menitikberatkan aspek pragmatiknya tetapi tidak memberikan perhatian kepada aspem pembinaan akliah. Pokoknya, kesepaduan dan keseimbangan dua matlamat yang menjadi inti sari perbincangan dalam kertas kerja ini menjadi prasyarat pendidikan bahasa yang berkesan dan berwawasan.

Pendidikan Bahasa dalam Menangani Isu Silang Budaya dan Globalisasi
Masyarakat yang progresif dan terdedah pula kepada interaksi dengan masyarakat dan budaya lain tidak dapat tidak memerlukan anjakan dalam beberapa aspek budayanya. Lebih awal dalam kertas kerja ini telah dibincangkan tiga situasi budaya yang perlu dipertimbangkan dalam membina keutuhan dan ketahanan sesuatu masyarakat. Yang pertama ialah kelestarian budaya dalam aspek-aspek teras atau fundamentalnya. Yang kedua ialah dinamik budaya dalam konteks kreativiti, inovasi dan penambahbaikan aspek-aspek tertentu dalam budaya masyarakat, sejajar dengan perkembangan dan keperluan masyarakat itu sendiri. Yang ketiga ialah kelenturan atau fleksibiliti budaya, dengan erti kata kesediaan masyarakat menyerapkan

Aspek kelestarian budaya yang teras dan patut dipertahankan sebagai asas jati diri bangsa terdapat, misalnya pada sistem nilai, falsafah dan pandangan sarwa dalam budaya masyaraka itu. Bagi masyarakat Melayu, agama Islam telah mencorakkan sistem nilai, falsafah dan pandangan sarwa mereka dengan berasaskan dua aspek yang utama, iaitu akidah dan syariah. Sistem nilai, falsafah dan pandangan sarwa yang berasaskan agama Islam tidak boleh diubah oleh sebab sifat rabbani yang ada padanya, iaitu segala-galanya berpaksi pada konsep ketuhanan, baik untuk kehidupan di dunia mahupun untuk kehidupan di akhirat.

Tidak ada pemisahan atau dikotomi antara kehidupan duniawi dengan kehidupan ukhrawi, antara sains atau ilmu dengan wahyu, antara pembangunan dengan nilai kemanusiaan, antara kuasa dengan amanah, antara kekayaan dengan pengagihan nikmat kepada sesama manusia dan sebagainya. Demikianlah, ungkapan “Biar mati anak jangan mati adat” sebenarnya merujuk kepada adat yang bererti hukum, bukan adat yang difahami oleh umum sebagai kebiasaan semata-mata. Dalam perbilangan Melayu disebut bahawa “Adat bersendi hukum; hukum bersendi kitabullah”.

Apakah peranan dan sumbangan pendidikan bahasa dalam pelestarian aspek budaya yang teras? Antara yang jelas, proses “penyerapan nilai” dan “penyerapan ilmu” melalui pendidikan bahasa dapat memenuhinya (Awang Sariyan, 2004). Dalam nilai, aspek ketuhanan, hukum, akhlak, sahsiah, hubungan baik, kejujuran, keikhlasan dan segala yang dapat meletakkan manusia dalam keadaan “saadah” atau kebahagiaan sejati dapat diserapkan dalam pendidikan bahasa, terutama melalui bahan ajar dan proses pengajaran dan pemelajaran (P & P) yang dipertalikan dengan bahasa, seperti kosa kata dan bentuk-bentuk wacana yang sarat nilai (value-laden). Demikian juga, peranan pendidikan bahasa dalam pelestarian aspek budaya yang teras dapat dilaksanakan melalui penyerapan ilmu, khususnya ilmu yang berkaitan dengan agama (ketuhanan, ibadah, akhlak, sirah atau kisah nabi, hubungan ekonomi dan sosial atau muamalah, sistem kekeluargaan atau munakahat, aturan keadilan dan kehakiman atau jinayat dsb.).

Barangkali salah satu contoh yang jelas bagaimana aspek budaya Melayu yang teras perlu dilestarikan ialah sistem panggilan atau sapaan. Budaya Melayu, selaras dengan konsep adab yang telah diserapkan melalui proses pengislaman, amat mementingkan penghormatan dalam interaksi sosial di peringkat mana pun. Meskipun tampak sedikit kompleks, namun sistem panggilan dalam bahasa Melayu benar-benar mencerminkan jati diri masyarakat yang meletakkan adab sebagai keutamaan. Kata hikmat dalam bahasa Melayu berbunyi “Yang tua dihormati, yang muda disayangi”. Maka itu, kekeliruan sejumlah pengguna bahasa, termasuk dalam media massa dalam penggunaan kata beliau, sebagai contoh, yang disamaratakan untuk orang baik-baik dengan penjenayah, atau apatah lagi haiwan, memberikan isyarat bahawa pelestarian aspek budaya yang teras memerlukan perhatian yang berat dalam pendidikan bahasa.

Isu yang tidak kurang pentingnya diberi perhatian dan pertimbangan dalam perancangan, pelaksanaan dan penilaian pendidikan bahasa (sebagimana juga dalam bidang pendidikan yang lain) ialah bagaimana kita harus menangani fenomena silang budaya dan globalisasi yang dapat dikatakan tidak terelakkan oleh mana-mana masyarakat dan budaya di dunia. Fenomena silang budaya dan globalisasi berkaitan rapat dengan dua lagi situasi budaya yang telah dibincangkan sebelum ini, iaitu dinamik budaya dan kelenturan budaya.

Dinamik budaya, selain dapat berlaku dari dalam masyarakat itu sendiri melalui kreativiti, inovasi, penemuan dan penambaikan oleh anggota-anggota masyarakat, dapat juga berlaku sebagai kesan fenomena silang budaya dan globalisasi. Biarlah penulis mengambil satu contoh terkini yang berlaku di Malaysia, berkaitan dengan penemuan seorang saintis di Universiti Sains Malaysia yang dapat menghasilkan bahan pembuangan racun daripada tubuh dengan menggunakan pangsa buah durian (Utusan Malaysia, 3 November 2008). Ini merupakan contoh bagaimana dinamik budaya dapat berlaku dalam bidang ilmu dan sains. Contoh lain ialah penggunaan DNA dalam penentuan kesahihan kes jenayah yang jelas merupakan unsur dinamik budaya dalam konteks mencari keadilan dalam masyarakat. Dalam bidang kesenian pula, misalnya. dinamik budaya dapat dikesan pada pertambahan dalam bentuk alat-alat muzik meskipun untuk menampilkan atau mempersembahkan muzik tradisional.

Selain dinamik budaya, kelenturan budaya pun berakibat daripada fenomena silang budaya dan globalisasi. Kelenturan budaya berbeda sedikit daripada dinamik bahasa, dalam konteks kelenturan budaya ada kalanya merupakan penerimaan unsur budaya luar yang tidak semestinya timbul daripada keperluan, tetapi terjadi sebagai kesan rempuhan yang global sifatnya. Contohnya, penangkapan ikan dan pertanian moden merupakan dinamik budaya yang diperlukan untuk peningkatan daya keluaran atau produktiviti; sebagainya kesannya diusahakan penggunaan teknologi moden yang berbeda daripada teknologi tradisional sehingga, misalnya, keluaran padi dapat ditingkatkan apabila dilaksanakan penanaman padi dua kali setahun.

Sebaliknya kelenturan budaya terjadi sebagai kesan langsung fenomena silang budaya dan globalisasi yang sama ada memberikan kesan positif mahupun negatif. Sebagai contoh, program televisyen yang bersumberkan budaya asing (yang sebahagiannya tidak serasi dengan budaya kita) bukan unsur dinamik atau unsur yang timbul disebabkan keperluan masyarakat, tetapi merupakan salah satu unsur dalam globalisasi. Demikian juga pelbagai bentuk dan ragam iklan dalam media massa (media cetak dan media penyiaran) lebih merupakan unsur dalam globalisasi menurut ekonomi pasaran bebas.

Dalam menghadapi fenomena itu diperlukan kelenturan budaya, dengan pengertian kita harus dapat menanggap dan menanganinya secara positif, meskipun usaha itu bukan sesuatu yang mudah. Dengan mengambil iklan perniagaan sebagai contoh, banyak nilai dalam iklan perniagaan yang bercanggah dengan sistem nilai budaya kita, seperti eksploitasi wanita. Adakah kita patut terus menolak iklan perniagaan sebagai satu unsur budaya baru? Dalam hal inilah perlunya kelenturan budaya, iaitu berusaha menerima aspek positif unsur budaya baharu tetapi dengan berhemah melakukan pengubahsuaian yang didasarkan pada sistem nilai kita sendiri. Barangkali contoh yang jelas ialah bagaimana pihak berkuasa di Kelantan tetap mengiklankan produk yang berasaskan keperluan wanita dan dengan itu masih tetap mengizinkan pengiklan meletakkan gambar wanita dalam iklan tetapi dengan adab yang sepatutnya, iaitu menjaga aurat dan tidak dengan gaya yang merangsang.

Apakah kaitan antara perbincangan tentang dinamik budaya dan kelenturan budaya itu dengan bidang pendidikan bahasa? Dalam subjudul sebelum ini tadi kita bincangkan matlamat pendidikan bahasa dalam konteks kehidupan yang menyeluruh. Pendidikan bahasa yang ideal yang dapat menggarap seluruh aspek kehidupan dan memenuhi sifat kesemasaan. Antara isu yang berkaitan dengan sifat kesemasaan itu termasuklah fenomena silang budaya dan globalisasi. Oleh itu, pendidikan bahasa harus dapat menggarap dan menangani isu semasa itu.
Sebagai contoh, sms atau sistem pesanan ringkas merupakan salah satu unsur budaya baru yang saya kategorikan dalam situasi kelenturan budaya. Ada aspek positif dan negatif sms, bergantung pada niat pengguna dan penggunaannya. Daripada segi bahasa, sering ditimbulkan masalah kerancuan bahasa yang berakibat daripada slanga sms. Maka menjadi tugas pendidik bahasa mengasuh anak didik menggunakan bahasa sms yang masih terkawal meskipun tidak perlu bertukar menjadi bahasa surat atau bahasa ilmiah.

Selain isu kandungan bahasa yang diakibatkan oleh fenomena silang budaya dan globalisasi, yang turut berkaitan ialah pemanfaatan teknologi moden dalam pendidikan bahasa, baik yang berbentuk perkakasan (hardware) mahupun yang berbentuk perisian (software). Pendidik bahasa tidak seharusnya mengabaikan pemanfaatan teknologi moden dalam proses pendidikannya selama teknologi itu dapat membantu proses pendidikan yang berkesan.

Tuesday, March 9, 2010

Memperdanakan Bahasa Melayu di kalangan Pelajar Asing di Malaysia

Memperdanakan Bahasa Melayu di kalangan Pelajar Asing di Malaysia

Sering kali kita lihat di dada-dada akhbar tempatan menyiarkan peri laku pelajar- pelajar asing di Malaysia yang memualkan hati. Kejadian berunsurkan gejala sosial telah merosakkan panorama masyarakat setempat yang hidup dalam aman dan tenteram. Gejala sosial yang selalu diketahui umum, seperti minum arak di khalayak ramai, mengacau penduduk di kawasan perumahan, tiada budi bahasa, dan sebagainya. Dalam Rukun Negara, “kesopanan dan kesusilaan” ,mengikut tafsiran secara am mendefinisikan masyarakat di Malaysia mengamalkan adab yang berbudi bahasa, mementingkan etika perlakuan, dan membudayakan masyarakat yang bersopan santun. Hal ini tidak diambil tahu oleh pelajar – pelajar asing di Malaysia.
Pelajar asing yang menuntut di Malaysia sama ada di Institusi Pengajian tinggi Awam ( IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta ( IPTS) dianggarkan sebanyak 65,000 orang. Jika kita lihat angkanya begitu besar. Persoalan yang ingin kita lontarkan sejauhmanakah pemerkasaan bahasa Melayu di kalangan para pelajar asing di Malaysia. Kenapa Bahasa Melayu perlu dipelajari oleh pelajar asing di Malaysia?, jawapannya ialah Bahasa Melayu menjadi wadah kepada komunikasi dalam memahami kebudayaan masyarakat di Malaysia. Jika seseorang penutur asing itu mengetahui asas bahasa Melayu, mereka akan tahu bahawa terdapat nilai sopan santun dalam masyarakat di Malaysia, terutamanya masyarakat orang Melayu.




Mengikut pendapat Profesor Dr Awang Sariyan, Penyandang Kursi Pengajian Melayu Negara China, satu akta negara berkaitan isu ini sudah ada sekian lamanya, namun pemerkasaan masih kurang diperkemaskan. Akta itu ialah Akta Pendidikan 1996 yang telah menetapkan bahawasanya pelajar asing di Malaysia mesti mempelajari bahasa Melayu. Namun, perkara yang menyedihkan “sikap acuh tak acuh dalam memberi pengajaran kepada pelajar asing ini. Ada juga segelintir Institusi Pengajian Tinggi ( IPT) yang tidak mengambil berat dalam menyediakan subjek bahasa Melayu untuk pelajar asing. Kemampuan pensyarah yang mengajar bahasa Melayu kepada pelajar asing juga perlu diperkemaskan agar selaras dengan kehendak kerajaan dalam mengembangkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

Kajian terperinci mengenai cara memberi kefahaman “nilai budaya menerusi subjek bahasa Melayu” perlu dilakukan segera, supaya setiap pengajaran yang diberikan kepada pelajar asing ada memberikan nilai – nilai murni masyarakat Malaysia. Sekurang-kurangnya, para pelajar asing ini mengetahui adat dan kebiasaan masyarakat di Malaysia. Kerjasama yang jitu dengan Akademi Pengajian Melayu di IPT perlu dibuat supaya memberi satu idea ke arah penyelesaian masalah gejala sosial di kalangan para pelajar asing di Malaysia, . Kuat kuasa oleh pihak kerajaan harus jitu dan jangan dilakukan hanya kerana “sikap bermusim sahaja”. Harapan yang besar diharapkan agar pelajar-pelajar asing ini akan menjadi “duta kecil” dalam mempromosikan bahasa Melayu di negaranya nanti.





Pemantapan bahasa Melayu yang baik akan memberikan “nilai tambah” dalam mengembangkan lagi penutur bahasa Melayu di dunia. Sebagai mana yang kita ketahui, Bahasa Melayu telah menduduki tangga ke empat di dunia , penutur paling ramai menggunakannya untuk berkomunikasi. Kita harus bangga dengan kejayaan bahasa Melayu, jika kita imbau suatu ketika dulu, bagaimana bahasa Melayu diangkat menjadi bahasa “Lingua Franca” di rantau ini. Sekarang, bahasa Melayu sudah semakin bercambah di serata dunia dengan kejayaan pusat-pusat pengajian Melayu di Universiti terpilih. Sebagai contohnya, di Beijing Foreign Studies University China, Leiden University Belanda , Ohio University Amerika Syarikat , dan Victoria University of Wellington New Zealand . Dalam kita berbangga dengan kejayaan “ Si bahasa Melayu “ ini di luar negara, janganlah kita lupa dengan “ Si Bahasa Melayu” di buminya sendiri. Kerajaan dan pihak NGO harus berganding bahu dalam memperkasakan bahasa Melayu agar dapat memperdanakan bahasa Melayu di serata dunia dan memperdanakan bahasa Melayu di Malaysia. Hanya itu “ku” pinta.

-Khairul Zaim Mohd Shaari-
Maktab Rendah Sains Mara
Merbok, Kedah.

Sunday, December 13, 2009

Menjenamakan Alumni Akademi pengajian Melayu UM Ke Arah Kemajuan

Semasa saya menuntut sebagai Pelajar APM, saya merasakan Tempat ini satu yang baru kepada saya, bingkas saya selalu membayangkan saya akan menjadi pemimpin pelajar di APM satu hari nanti., sebagai mana yang saya lakukan di sekolah dam jawatankuasa perwakilan sekolah (PERTINA). Di awal pembabitan saya di APM, saya melihat aktiviti yang dilakukan seperti "segan 2 kucing", hanya syarat sahaja.
Namun, setelah saya menceburui bidang kepimpinan di Kolej Kediaman Berstari, saya cuba mempraktikkan di APM. Saya berasa bersyukur dengan dikurniakan ramai kawan yang sanggup bersama-sama cuba membangunkan Kelab APM menjadi Persatuan Mahasiswa APMUM. Banyak juga aktiviti yang kami lakukan dengan pengarah APM yang banyak memberi bantuan, walaupun ada "duri dalam APMUM yang cuba menggagalkan".
Selepas saya dan rakan habis belajar, saya pelik dan hairan kenapa aktiviti di APMUM semakin lesu setelah diberitahu beberapa bekas pelajar dan adik-adik APM yang selalu menceritakan hal berkenaan di APMUM. Ada suka dan ada juga duka. Lumrah la.
Saya dan rakan bekas pelajar APMUM, berfikir sejenak, adalah lebih baik jika kita mengaktifkan pula Persatuan Alumni APMUM yang ( Hidup Segan Mati TAk MAHU) itu. Sebagaimana yang kami lakukan kebangkitan Kelab APM menjadi Persatuan Mahasiswa APM yang disegani di UM kerana keaktifannya, yang sentias dicembutui oleh Persatuan lain di UM.
Penjenamaan semula boleh Dilakukan dengan mengadakan Majlis Mesra Alumni APMUM, yang harus dijalankan setiap bulan 12 setiap tahun. Kenapa Bulan 12?..senang sahaja , kerana ianya ialah cuti sekolah, dan harus dipasakkan menjadi acara gemilang. Saya dulu pernah bertindang menjadi AJK Alumni dalam HAri ALUMNI UM 2008, dan menjadi AJK HARI ALUMNI APM 2008, namun sambutan yang diberikan tidak mendapat sambutan, namun kita harus bersyukur...Oleh itu, sudah tiba masanya, kita merapatkan kembali keakraban kita sengai ALUMNI APMUM.
Oleh itu, saya sebagai Mantan Wakil Pelajar berasa bertanggungjawab dalam mengumpulkan Alumni yang baru sahaja graduasi dan sesi yang muda dengan menggelarkan sebagai ALUMNI MUDA ( AM) APMUM ( AMAPMUM), sebagai aras kebangkitan kita dalam sentiasa bersama-sama membangunkan Kumpulan kita. Harap ALUMNI yang lain cuba bersama berganding bahu.
Saya rasa bersyukur apabila Pengarah APMUM, Prof Madya Datuk Zainal Abidin Borhan sentiasa menyokong usaha kita ini, walaupun kita sudah habis belajar.
Majlis Mesra Alumni APMUM
Dalam majlis ini, saya akan cuba mengusulkan kepada pihak pengurusan bahawasana perlu ada penambahbaikan dalam Persatuan Alumni APMUM , sebagaimana ALUMNI fakulti lain yang lebih maju. Saya juga merancang supaya diadakan BLOG ALUMNI yang mempunyai fungsi yang mengumpul ALUMNI negeri, ada aktiviti semasa, ada karya online, dan idea rakan yang lain
Dalam majlis itu juga, akan ada beberapa persembahan yang dilakukan oleh alumni sendiri.
Jamuan Teh yang ringkas ditaja oleh Pengarah APMUM sendiri.
Tabung ALUMNI APMUM berjumlah RM 5 setiap alumni , diharap dapat dilaksanakan agar hal pentakbiran dapat dilaksanakan dengan baik.Susah juga jika, penganjur yang masih kekurangan sumber.
Satu sesi khas iaitu Salam Junjung Kasih akan dijadikan acara wajib dalam Majlis Mesra Alumni APMUM. Hal ini seperti mencium tangan dan memohon halalkan ilmu yang diajarkan... Saya tahu ada yang malu, tapi mari kita mencuba, tidak salahkan.
penutup majlis, kita akan bergambar kenang -kenangan sebagai simbolik kemestian dalam acara ini.Insya ALlah, gambar ini akan kita siarkan di dalam Facebook APMUM..
Akhir kata, saya menyeru kepada rakan-rakan agar dapat datang dan bersama membantu dalam menjayakan Majlis Mesra ALUMNI APMUM yang julung kali diadakan. Jika mendapat sambutan, saya dan rakan lain tanpa segan silu akan cuba mnganjurkan lagi. AMIN.
013-2968317
Diharap , ALUMNI APMUM dapat memaklumkan kehadiran di dalam facebook APMUM atau saya sendiri. zaim_mpmum@yahoo.com

Sunday, November 22, 2009

Esok berjumpa Ayahanda APMUM

salam semuanya... Esok saya akan berjumpa dengan Pengarah APM dan Prof Mohktar untuk merancang Majlis Mesra Alumni APMUM... Ianya berlansung pada 19 Disember ini dengan bertemakan " Pulang Ke PAngkuan Ayahanda dan Bonda"...Memang tidak dinafikan saya mengambil risiko untuk mengadakan program ini , kerana khuatir sambutan yang tidak menggalakkan..Namun saya gagahi juga untuk memastikan program ini diteruskan kerana " mengubat kerinduan" Alumni APM.. Moga saya akan berjaya

Sunday, November 8, 2009

Puisi dan Lagu Pangkor

sewaktu kupijakkan kaki
diputih pasir pantai mu
semilirpun mehembus lembut
membelai sekilas ingatan
mengimbaukan
cerita sejarah
yang terpahat di pangkor ini
tanah berdaulat
Ini tanah pernah menyemadikan
sekarma sejarah yang diselongkar
dari gobok kazanah purba
mengabadikan sebuah lagenda
anak bangsa
tidakkan terpadam
dicanai zaman usia
Ini tanah pangkor
masihkah bersemarak
semetrai waadat
dengan iringan ratapan anak bangsa
tanda berkuasa
jemari raksasa memerah ratah
tanah tercinta
Mari kita kesinambungkan sejarah
yang digali ditanah pusaka
biar gegaran genta pahlawan
terus menguntum disanubari bangsa
Moga akan mekar kelopak
kebanggaan anak warisan
ini tanak yang ditinggalkan.

Ciptaan: Sayalimi ( Cikgu Limi)

Friday, November 6, 2009

Gemuruh menanti MAJLIS MESRA ALUMNI APMUM 2004-08












Pada mulanya saya kerinduan pada teman sepermainan di APM, lalu saya melayari Facebooks untuk bertanya sapa dengan beberapa rakan. Beberapa rakan mengajukan satu pertanyaan kepada saya, mahukah kita mengadakan Pertemuan ALUMNI kita. Saya pun, memang sedikit kerinduan kepada teman lama. Lalu berfikir panjang pada bulan 10 yang lalu, dan cuba merangka seberapa segera rancangan saya ini. Saya menyediakan kertas kerja dan cuba menghubungi Pengarah APM dan Prof Mokhtar untuk cadangan saya ini. Mereka sangat mengalukan majlis ini, kerana sudah tidak berjalannya "persatuan Alumni APM ini.


Satu perkara yang sukar saya hadapi iailah penetapan tarikh, sebanyak 3 kali sudah diubah tarikh, akhirnya 19 Disember ini menjadi pilihan. Memang agak takut jika Alumni Alaf Baru ini tidak dapat hadir. Saya menganggarkan 150 orang datang iaitu 2004/2005 sebanyak 30 orang, 2005/2006 sebanyak 30 orang, 2006/2007 sebanyak 30 orang, 2007/08 juga 30 orang, dan ALUMNI BFSU APM 30 orang, saya sebenarnya takut makanan yang banyak tidak dihabisi..hehe..


Program ini sebenarnya, masih baru di APM , oleh itu saya berharap abang, kakak, kawn-kawan , dan adik-adik dapat datang , walaupun ada tugasan lain, kerana saya hanya akan mengadakan ini sekali sahaja, untuk melihat bagaimana sambutan ALUMNI kita ini, jika berjaya dengan sasaran ini, saya akan cuba meneruskan rancangan ini setiap bulan 12 , dan menjalankan aktiviti seperti berkelah..


Dana kita ialah o.. Oleh itu, pada majlis itu saya akan mengajukan pelancaran tabung ALUMNI APM ALAF BARU yang menghendaki setiap alumninya menderma rm5, iaitu sebagai penggerak dalam aktiviti nanti.


Di hari itu, juga saya merancang untuk memperlihatkan "slideshow" alumni yang akan saya curi dari Facebooks tanpa disedari gambar anda sudah diambil untuk ditontonkan di majlis itu.


Jamuan teh , saya mencuba untuk mendapatkannya, dengan meminta Pengarah APM dengan kebaikannya. Harap Berjaya.


Persembahan, sebenarnya masih dirancang, iaitu puisi, nyanyi bergitar atau apa apa je..


ADAT SALAM, iaitu satu kemestian diadakan dalam majlis alumni untuk menghormati pensyarah yang telah penat memberi ilmu...caranya cium tangannya dan minta ampun dan maaf..hehe


Diakhir majlis ini, sesi bergambar mengikut sesi diadakan dan semua sekali..dan kepada alumni nak bergambar sekeliling APMUM pun boleh..tapi elok-elok nanti dikejar oleh HAng Monyet..hehe


Sama-samalah kita menyokong usaha ini, agar berkekalan persahabatan ini..Ambillah MC, dan datang la awal-awal kerana pelbagai perkara nak disembangkan kerana sudah lama tak berjumpa.Kepada yang dah berkahwin,rajin-rajin la bawak isteri..hehe...bagi tahu..ini lah tempat Ayang belajar...hehe.


Saya mencabar bekas pelajar APM , jika anda sayangkan APM ini di mana tempat kita belajar..maka datang la beramai-ramai, dan imbaulah kenangan dihari lalu dulu...Saya pasti banyak perkara nak dibualkan..Macam saya..hehe..


Jika majlis itu tidak seperti diharapkan, saya menyusun jari kemaafan, kerana sangat susah nak menjemput menggunakan kad...hanya alam seber ini sahaja dapat dilakukan..


Salam sayang ari saya, Zaim...Mantan Wakil Pelajat APM 06/07, MPMUM 07/08