Tuesday, March 9, 2010

Memperdanakan Bahasa Melayu di kalangan Pelajar Asing di Malaysia

Memperdanakan Bahasa Melayu di kalangan Pelajar Asing di Malaysia

Sering kali kita lihat di dada-dada akhbar tempatan menyiarkan peri laku pelajar- pelajar asing di Malaysia yang memualkan hati. Kejadian berunsurkan gejala sosial telah merosakkan panorama masyarakat setempat yang hidup dalam aman dan tenteram. Gejala sosial yang selalu diketahui umum, seperti minum arak di khalayak ramai, mengacau penduduk di kawasan perumahan, tiada budi bahasa, dan sebagainya. Dalam Rukun Negara, “kesopanan dan kesusilaan” ,mengikut tafsiran secara am mendefinisikan masyarakat di Malaysia mengamalkan adab yang berbudi bahasa, mementingkan etika perlakuan, dan membudayakan masyarakat yang bersopan santun. Hal ini tidak diambil tahu oleh pelajar – pelajar asing di Malaysia.
Pelajar asing yang menuntut di Malaysia sama ada di Institusi Pengajian tinggi Awam ( IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta ( IPTS) dianggarkan sebanyak 65,000 orang. Jika kita lihat angkanya begitu besar. Persoalan yang ingin kita lontarkan sejauhmanakah pemerkasaan bahasa Melayu di kalangan para pelajar asing di Malaysia. Kenapa Bahasa Melayu perlu dipelajari oleh pelajar asing di Malaysia?, jawapannya ialah Bahasa Melayu menjadi wadah kepada komunikasi dalam memahami kebudayaan masyarakat di Malaysia. Jika seseorang penutur asing itu mengetahui asas bahasa Melayu, mereka akan tahu bahawa terdapat nilai sopan santun dalam masyarakat di Malaysia, terutamanya masyarakat orang Melayu.




Mengikut pendapat Profesor Dr Awang Sariyan, Penyandang Kursi Pengajian Melayu Negara China, satu akta negara berkaitan isu ini sudah ada sekian lamanya, namun pemerkasaan masih kurang diperkemaskan. Akta itu ialah Akta Pendidikan 1996 yang telah menetapkan bahawasanya pelajar asing di Malaysia mesti mempelajari bahasa Melayu. Namun, perkara yang menyedihkan “sikap acuh tak acuh dalam memberi pengajaran kepada pelajar asing ini. Ada juga segelintir Institusi Pengajian Tinggi ( IPT) yang tidak mengambil berat dalam menyediakan subjek bahasa Melayu untuk pelajar asing. Kemampuan pensyarah yang mengajar bahasa Melayu kepada pelajar asing juga perlu diperkemaskan agar selaras dengan kehendak kerajaan dalam mengembangkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

Kajian terperinci mengenai cara memberi kefahaman “nilai budaya menerusi subjek bahasa Melayu” perlu dilakukan segera, supaya setiap pengajaran yang diberikan kepada pelajar asing ada memberikan nilai – nilai murni masyarakat Malaysia. Sekurang-kurangnya, para pelajar asing ini mengetahui adat dan kebiasaan masyarakat di Malaysia. Kerjasama yang jitu dengan Akademi Pengajian Melayu di IPT perlu dibuat supaya memberi satu idea ke arah penyelesaian masalah gejala sosial di kalangan para pelajar asing di Malaysia, . Kuat kuasa oleh pihak kerajaan harus jitu dan jangan dilakukan hanya kerana “sikap bermusim sahaja”. Harapan yang besar diharapkan agar pelajar-pelajar asing ini akan menjadi “duta kecil” dalam mempromosikan bahasa Melayu di negaranya nanti.





Pemantapan bahasa Melayu yang baik akan memberikan “nilai tambah” dalam mengembangkan lagi penutur bahasa Melayu di dunia. Sebagai mana yang kita ketahui, Bahasa Melayu telah menduduki tangga ke empat di dunia , penutur paling ramai menggunakannya untuk berkomunikasi. Kita harus bangga dengan kejayaan bahasa Melayu, jika kita imbau suatu ketika dulu, bagaimana bahasa Melayu diangkat menjadi bahasa “Lingua Franca” di rantau ini. Sekarang, bahasa Melayu sudah semakin bercambah di serata dunia dengan kejayaan pusat-pusat pengajian Melayu di Universiti terpilih. Sebagai contohnya, di Beijing Foreign Studies University China, Leiden University Belanda , Ohio University Amerika Syarikat , dan Victoria University of Wellington New Zealand . Dalam kita berbangga dengan kejayaan “ Si bahasa Melayu “ ini di luar negara, janganlah kita lupa dengan “ Si Bahasa Melayu” di buminya sendiri. Kerajaan dan pihak NGO harus berganding bahu dalam memperkasakan bahasa Melayu agar dapat memperdanakan bahasa Melayu di serata dunia dan memperdanakan bahasa Melayu di Malaysia. Hanya itu “ku” pinta.

-Khairul Zaim Mohd Shaari-
Maktab Rendah Sains Mara
Merbok, Kedah.