Tuesday, March 10, 2009

Suarakan Nasib BM di Perhimpunan Agong UMNO 2009


Isu bahasa kebangsaan kembali hangat apabila isu PPSMI didesakan pelbagai pihak yang terdiri tokoh pejuang bahasa, ahli politik, mahasiswa, ibubapa, dan tidak dilupakan masyarakat yang mencintai BM sebagai bahasa mojoriti Malaysia. Namun, terdapat juga segelintir pihak yang menyokong PPSMI agar diteruskan. Akibatnya, berlakunya perhimpunan membantah perlaksanaan PPSMI oleh Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) yang dinaungi pelbagai pelbagai NGO ,dan mendapat sokongan ahli politik. Disebalik penglibatan ahli politik yang dikatakan dari pihak pembangkang, maka pelbagai reaksi telah diberikan, ada yang baik, ada juga yang sebaliknya.

Pada perhimpunan agong UMNO 2009 ini, perkara yang diharapkan agar isu PPSMI diselesaikan dengan segera, seperti mana UMNO merupakan parti politik Melayu yang terbesar di Malaysia dan juga merupakan parti yang mendominasi pentadbiran negara. Perkara ini mendapat reaksi daripada Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyidin Yassin yang berkata perlu ada langkah mempercepatkan tindakan menangani isu ini agar masalah ini tidak berlarutan.

Tambahnya lagi, beliau berharap menteri terbabit perlu memberi kata dua dalam menyelesaikan masalah ini. Tan Sri Muhyiddin Yassin juga mengingatkan masalah PPSMI ini akan memberi kesan negatif terhadap parti yang selama ini membela kebajikan orang Melayu. Pemimpin UMNO harus kembali kepada asas perlembagaan UMNO yang telah digubal oleh cendiakawan UMNO yang meletakkan Bahasa Melayu(kebangsaan) sebagai bahasa yang diakui, sebagaimana dalam fasal 3.5(Menjamin kedudukan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu) sebagai bahasa rasmi yang tunggal dan Kebudayaan Kebangsaan yang berteraskan Kebudayaan Melayu). ahli UMNO juga harus munasabah diri dalam menilai antara kemahuan maju dengan kesucian perlembagaan negara yang meletakkan bahasa kebangsaan dalam undang-undang negara, yang dijaga pelbagai peruntukan undang-undang, antaranya perkara 152. Hal ini bukan menidakkan bahasa lain, tetapi bahasa kebangsaan ini yang menjaga perpaduan sesama bangsa Malaysia .


Kenyataan Raja Nazrin semasa melancarkan buku "The Malays hasil karya Prof. Anthony Milner di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang bertitah bahawa masyarakat Melayu perlu menjaga kesucian agama, bahasa, dan budaya yang mana dinaungi oleh raja-raja Melayu dan termaktub perlembagaan." Raja Nazrin juga menggambarkan secara simbolik dengan kisah Pak Kadok yang menceritakan bagaimana Pak kadok menyerahkan ayam sabungnya kepada lawannya, namun Pak Kadok hanya menang sorak, kampung tergadai. Perkara yang paling menggusarkan baginda ialah andai Melayu akan pupus dan hanya tinggal pada nama dan hanya hikayat lama menceritakan konsep Melayu sahaja. Orang Melayu perlu bermuhasabah diri, terutama pemimpin UMNO.

Selepas perhimpunan agong UMNO ini, maka tugas maha penting dalam urusan kepentingan Orang Melayu akan diletakkan dibahu Dato seri Najib Tun Abdul Razak yang bakal menjadi Perdana Menteri yang keenam. Masyarakat amnya, berharap kepimpinan baru ini dapat membantu nasib bahasa kebangsaan agar tidak ditelan zaman.Isu PPSMI ini, seharusnya diletakkan sebagai agenda utama dalam perhimpunan UMNO, selain masalah ekonomi ketika ini. Kita berharap, pada wawasan 2020, kita sudah berjaya melengkapkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan bahasa teknologi sebagaimana negara maju dan negara membangun yang lain.Hang tuah pernah berkata, "tak Melayu Hilang di Dunia", namun anak muda seperti saya" Melayu Hilang di hatinya". Sama-sama kita renungkan.