Saturday, November 8, 2008

Perkasakan kembali BM sebagai bahasa Intelek Negara

Perkasakan Kembali BM Sebagai Bahasa Intelek Negara

Kegemilangan Bahasa Melayu era Kesultanan Melaka menjadi detik-detik manis apabila sejarah bahasa ini telah berjaya menjadi lingua franca bagi kepulauan Melayu. Kerajaan – kerajaan kepulauan Melayu seperti Melaka telah terbukti dengan menjadi pusat pengetahuan dalam penyebarkan bahasa Melayu . Hal ini terbukti , bahasa Melayu sebagai bahasa yang digunakan dalam perdagangan di kawasan maritim yang dikunjungi pedagang barat, India, Arab dan China. Pedagang mempelajari bahasa Melayu ini sebagai medium komunikasi dua hala dalam urusan jual beli.

Kegemilangan bahasa yang antara kelima mojoriti terpenting di dunia ini tersebar luas di beberapa bahagian dunia denagn aliran rumpun seperti di Nusantara, Hawaii, Kepulauan Fiji, Kepulauan Marianna, yang mana telah menjadi rumpun dalam bahasa Austronesia. Hal ini dapat diperlihatkan dengan beberapa peristilahan dan lenggok ragam bahasa yang mempunyai rias bahasa Melayu sejagat.

Perkembangan Bahasa Melayu di Malaysia ini, jika dilihat secara umumnya bolehlah dikatakan berjaya dalam keilmuan kebahasaan dan kesusteraan sahaja. Hal demikian kerana bahasa Melayu ini telah mendapat tempias dengan kewujudan PPSMI ( Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris). Bagaimana pula dengan kejayaan bahasa Kebangsaan dalam Sains dan Teknologi ? Adakah mencapai kejayaan seperti negara barat seperti Belanda, Peranci atau di Jepun dan China.

Sudah tiba masanya kerajaan menjenamakan semula bahasa Kebangsaan ini sebagai bahasa Intelek negara. Janganlah terpengaruh dengan melihat acuan barat, sambil sedikit demi sedikit menghakis keperkasaan bahasa Kebangsaan. Bahasa Kebangsaan telah mengalami kepupusan minda apabila peristilahan bahasa Kebangsaaan dalam sains sudah meniti zaman kegelapan. Penerbitan buku- buku bercorak sains untuk pelajar dan pembaca umum juga mendapat nasib yang sama.

Kebimbangan Ibu bapa dalam soal PPSMI tidak dapat diselindung lagi apabila terdapatnya peratusan penurunan markah dalam subjek sains dan matematik. Kebimbangan ibu bapa ini ditambahkan lagi dengan peratus penurunan di luar bandar yang banyak menggagalkan pelajar sama ada pelajar rendah ataupun menengah. Kerajaan haruslah bertanggungjawab dengan isu ini, dan perlulah mendapat persetujuan bersama dengan tokoh bahasa dan juga NGO bahasa.
Parti UMNO yang merupakan parti Melayu terbesar di negara ini haruslah memikirkan kembali dalam asas perjuangannya dahulu iaitu mengekalkan kegemilangan bahasa kebangsaan yang mana menjadi tunjang dalam perlembagaan UMNO. Hal ini dapat dilihat dalam ( perkara 3.5 Menjamin Kedudukan Kebangsaan, Bahasa Melayu) sebagai bahasa rasmi tunggal. UMNO yang menjadi tunjang dalam kerajaan harus bermuhasabah dalam memikirkan kembali janji keramat ikrar mereka dalam menjaga kesucian pelembagaan UMNO dan lebih besar lagi perlembagaan negara iaitu berkenaan kesucian bahasa kebangsaan.

Kerajaan perlu memberi penekanan kembali dalam pemupukan bahasa kebangsaan selepas beberapa kejadian yang mencalar bahasa kebangsaan seperti tanda jalan dalam bahasa selain bahasa kebangsaan yang banyak di negara ini. Kerajaan harus tegas dalam menghukum pesalah ini sama ada dalam awam ataupun swasta. Masa depan bahasa kebangsaan masih samar, walaupun menjadi bahasa mojoriti negara ini.

Gedung ilmu di IPT juga sudah jauh tersasar dalam mempraktikkan bahasa kebangsaan dalam pelbagai jenis ilmu, hal ini dapat dilihat dengan kekurangan buku dalam bahasa kebangsaan untuk dijadikan rujukan mahasiswa. Terdapat juga kain rentang untuk iklan dalam universiti dalam BI yang banyak seperti sudah mengabaikan kewujudan bahasa kebangsaan. Minggu bahasa dan sastera di peringkat universiti boleh dikatakan seperti tidak wujud apabila peruntukan yang kecil diberikan oleh pengurusan universiti. Hal ini berlainan dengan seminar- seminar BI yang mendapat peruntukan besar oleh pengurusan universiti.

Seharusnya, kita mewajibkan mahasiswa luar negara yang menuntut di negara kita ini mempelajari bahasa kebangsaan. Hal ini dapat menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa intelek. Perkara ini bukan untuk menyusahkan mereka tetapi menyenangkan mereka dalam bertutur dalam komuniti Malaysia , di samping mempelbagaikan kebahasaan mahasiswa asing di negara ini. Kerajaan janganlah bimbang dengan ketidakberjayaan dalam pengajaran bahasa kebangsaan ini terhadap mahasiswa asing, kerana kebimbangan ini tidaklah serumit dengan kebimbangan pelajar kita di Malaysia yang akan rosak dalam “bahasa rojak” atau “bahasa separuh ular dan separuh belut” ini.

Kejujuran dalam nukilan ini bukannya hendak menjatuhkan BI di negara ini, tetapi sudah cukuplah BI sebagai bahasa untuk dipelajari, bukannya untuk bahasa untuk diperkasakan . Perkara yang menjadi tanda tanya bagi kita ialah bahasa apakah yang akan digunakan pada zaman 2020? Adakah bahasa kebangsaan lagi? Semua ini perlu dijawap oleh pihak yang bertanggungjawab, agar anak bangsa kita akan dapat melihat bahasa kebangsaan sebagai bahasa yang berkuasa di negaranya sendiri dengan kecemerlangannya dalam sains dan teknologi, sebagai mana negara China mempunyai perisian komputer dalam bahasa China, tetapi negara kita ini, bila lagi hendak menuju ke arah tersebut.Tunggu dan terus menunggu.

-Khairul Zaim Mohd Shaari
Mantan Timbalan Presiden Mahasiswa
Akademi Pengajian Melayu
Universiti Malaya
2006/2007

1 comment:

pewarisalam said...

Betapa terasa apabila melihat bangsa sendiri pandai membela bahasa asing melalui PPSMI, tetapi tidak tahu untuk membela bahasa sendiri. Baru aku sedar betapa pemimpin kita sebenarnya tidak pun berjiwa kerdil, apatah lagi berjiwa besar.