Saturday, November 8, 2008

Silat Melayu

Wajar Wajibkan Subjek Seni mempertahankan Diri di IPT

Dahulu, seni mempertahankan diri digunakan bagi tujuan peperangan dalam mengawal keamanan Negara. Hal ini dapat dilihat menerusi kerajaan Melayu Melaka iaitu Seni Silat Melayu dalam mengekang kuasa penjajah. Namun, semua itu hanya dapat diketahui dalam buku-buku lama dan juga generasi pesilat.

Perkara yang ingin diutarakan di sini, tentang mewajibkan seni mempertahankan diri sebagai subjek penting dalam IPT di Negara ini. Sebagaimana yang kita ketahui, IPT merupakan aset penting Negara dalam semua lapangan ilmu. Seharusnya, subjek seni mempertahankan diri diajar bagi pengetahuan anak bangsa masa akan datang. Seni mempertahankan diri ini, bukan hanya merujuk silat sahaja , tetapi seni Silambam, Wushu, dan seni pertahankan diri yang lain. Kita harus mengetahui seni pertahankan diri ini jika tidak diajar secara teori dan amalinya di IPT dan juga tidak ketinggalan di sekolah, akan memberikan gambaran bahawa permartabatkan seni pertahankan diri di kalangan generasi muda tidak akan berjaya.

IPT juga harus menyahut seruan dalam mengadakan penyelidikan seni silat Negara untuk dipertontonkan di luar negara. Sebagai contohnya, saya merupakan salah seorang mahasiswa dalam program pertukaran mahasiswa antara Akademi pengajian Melayu Universiti Malaya dengan Beijing Foreign Studies University(BFSU), China yang lalu Dalam satu Persembahan Kebudayaan Melayu di BFSU, saya dan rakan –rakan telah mempamerkan seni silat di kalangan Mahasiswa BFSU. Apa yang menariknya, mahasiswa BFSU bukan hanya bangsa China, tetapi terdapatnya mahasiswa dari Rusia, Jepun, dan Korea menonton seni silat yang kami persembahkan.

Mahasiswa tersebut boleh dikatakan terkejut melihat kehalusan lenggok seni yang kami persembahkan. Kata mahasiswa tersebut, inilah pertama kali mereka melihat seni silat Melayu ini dan sangat berminat dalam mempelajarinya. Hinggakan semasa kami membuat persembahan silat, kami dapat melihat di hadapan pentas tetamu juga sedang cuba mengikut gerak laku kami. Bayangkanlah jika, pusat pengajaran silat terdapat di IPT luar negara dan dipelajari oleh mahasiswa IPT luar Negara.

Jika diperhatikan di BFSU dan IPT China yang lain, Taichi merupakan seni mempertahankan diri yang wajib dipelajari oleh mahasiswa Negara China. Hal ini menunjukkan kerajaan China mempunyai tekad dalam melihat seni Taichi itu terus dipelajari di samping memberikan satu langkah kesihatan kepada rakyatnya. Perkara yang lebih penting, seni Taichi itu tidak akan ditelan oleh zaman , kerana kebijaksanaan kerajaan China. Hal ini harus dicontohi oleh Malaysia.
Jika langkah mewajibkan Seni mempertahankan diri ini berjaya, bayangkanlah kes-kes permasalahan bagi generasi muda akan berkurangan.

Tambahan itu, kes ragut di kalangan mahasiswa dan pelajar sekolah juga boleh dapat diatasi dengan mereka dapat menggunakan kebijaksanaan dengan menggunakan seni pertahankann diri sebagai benteng terakhir untuk diri mereka sendiri.

Sedia maklum, seni mempertahankan diri amat mementingkan disiplin, dengan terdidiknya disiplin kepada mahasiswa , kes-kes permasalahan seperti budaya lepak, merempit dan sebagainya dapat dicegah. Hal ini bertepatan dengan kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam satu Majlis Perasmian Mesyuarat Sektor Kejurulatihan ke 34 PSSLM, beliau mengatakan rakyat sedang berada dalam zaman globalisasi yang boleh memberi tamparan hebat dalam percambahan akhlak dalam mengekang kes sosial.

Kita berharap dengan kerajaan cuba mewajibkan seni mempertahankan diri sebagai subjek di IPT, dapat membantu dalam menjadikan mahasiswa berdisiplin dan berdaya saing dalam memasuki zaman maju di masa hadapan.

Khairul Zaim Mohd Shaari

No comments: